Saturday 22 May 2010

Aku semakin tua.


Aku semakin tua.

Akhir-akhir ini aku mula perasan akan pertambahan usia aku. Kalau kalian nak gelak sampai terguling-guling kerana aku ni bersangatan 'pending' pun aku tak kisah. Sebab itu adalah kebenaran. Sekarang baru aku sedar kenapa kadang-kadang aku terjumpa makcik-makcik tua yang dressing macam orang muda. Aku semacam dapat menyelami perasaan makcik-makcik tersebut. Kalau dulu aku tergolong diantara golongan yang mengutuk manusia-manusia yang tidak berlagak sepadan dengan umur mereka, sekarang aku agak tersayat apabila memikirkan kembali kebodohan aku yang dulu. Bukanlah maksud kataku di sini adalah aku ingin mencuba dressing seperti remaja belasan tahun, kalau ada orang menawarkan aku satu juta genih sebagai ganjaran untuk aku menggayakan fesyen budak tadika zaman nampulohan pun, mungkin aku akan menolak tanpa berfikir 10 kali! (sejuta bukan sikit! Mungkin aku akan pikir jugak lima nam kali...haha), tetapi sebenarnya aku lebih terdorong untuk berbicara mengenai umur kita.
Kalian pernah terfikir mengapa kita berasa gembira dan terharu setiap kali menyambut hari lahir? Apa wajarnya kita berasa gembira? Sedangkan umur kita semakin bertambah. Badan kita semakin hari semakin lewah berfungsi. Kita semakin mudah dihinggap penyakit. Kedutan makin bertambah. Uban usah dikira berapa urat. Stamina ibarat kereta kura tidak pernah diservis. Adakah atas sebab-sebab tersebut kita bergembira? Ataupun kalian ada sebab lain? Biar aku teka. Kalian gembira kerana berjaya memanfaatkan umur kalian sebelum ini? Kalian sudah berjaya memegang ijazah kalian? Kalian sudah berjaya berkahwin? Kalian sudah berjaya menulis beratus-ratus buah tulisan ilmiah? Kalian sudah berjaya berbakti kepada ibubapa kalian? Kalian sudah melunaskan segala impian kalian setakat ini? Ataupun kalian sekadar berasa gembira kerana kalian mendapat perhatian keluarga dan rakan-rakan? Kalian peroleh banyak hadiah, kalian peroleh ucapan hari lahir?  
Aku penggemar kotak hiburan yang dinamakan televisyen. Aku suka mencari maklumat tentang selebriti-selebriti yang melakonkan filem-filem atau drama-drama kegemaranku. Kalau dulu aku lihat aktor kacak dan aktres jelita semuanya lebih tua daripada aku. Sedikit masa kemudian aku perasan pula umur pelakon-pelakon baru semuanya hampir sebaya dengan aku, ada juga yang lebih muda daripadaku. Dari satu sudur aku sebenarnya kagum terutamanya dengan selebriti yang sebaya dengan aku yang sudah mampu untuk mencari duit sendiri memandangkan aku menyempitkan skop dalam dunia hiburan sahaja. Aku kagum juga dengan remaja lain yang mampu berdikari dalam bidang lain juga ya. Kalau nak dibandingkan dengan aku, nak pegang duit hasil pencarian sendiri pun rasanya tak banyak. Itupun sekadar untung bisnes kecil-kecilan yang aku dan kawanku jalankan di waktu lapang ketika di sini. Banyak manalah sangat kalau nak dibandingkan gaji penghibur terutamanya penghibur luar negara. Berbalik kepada topik, beberapa minggu yang lalu aku baru menyedari semakin ramai pelakon-pelakon yang seusia aku dan ada yang lebih muda daripada aku sudah mula menjadi watak utama dalam drama-drama. Pada mulanya aku agak terkejut dan semacam payah untuk menerima kenyataan kerana pada usia seperti mereka aku hanyalah budak hingusan yang hanya mengenal ruang lingkup dunia sempit di sekeliling aku sahaja. Apabila aku tilik semua baru aku ternampak kenapa semua ini berlaku. Aku sudah semakin tua sebenarnya. Aku sebenarnya yang lewat mengenal dunia dewasa. Semuanya disebabkan aku masih belajar. Aku masih bergantung kepada ibu bapa untuk melangsungkan pelajaran. Aku masih hanyut dengan keseronokan hidup dengan kawan-kawan. Melepak sana-sini tak tentu arah. Belajar pun sekadar ikut mood sahaja. Bukan mood yang ikut tanggungjawab. Aku tak nampak jerih payah mencari sesuap nasi. Sekadar carik-carik itu adalah.
Apabila jawapan kenyataan terpamer, aku susah untuk menerimanya. Aku semak dengan fikiranku sendiri. Aku baru tergagau-gagau mencari masa yang hilang. Apa yang aku lakukan dalam sela umurku dahulu? Aku tidak nampak hasil yang boleh dibanggakan. Secalit buah hasil usaha untuk Allah dan agama pun masih samar-samar. Apatah pula tanggungjawab dengan manusia-manusia di sekeliling aku. Aku hanya sekadar memenuhkan syarat sahaja. Tidak pernah berusaha untuk mendapatkan yang terbaik.
Guru aku pernah mengatakan bahawa umur merupakan bom jangka. Aku terkedu lama apabila mendengar kenyataan itu. Aku dihujani alasan yang tak mampu aku tepis. Umur ibarat sumbu bom tersebut. Karbait atau bahan bakarnya pula adalah kematian. Meremang apabila mendengar kematian? Memang patut pun.
"Setiap insan PASTI akan merasai kematian"
Pernah kalian terlupa cebisan kalimah agung ini? Ditakkidkan dengan kehadiran kalimah fa'il. Kalian kenang sendiri. Aku selalu terlupa. Aku ditenggelami masalah dunia. Aku dikaburi kecantikan dunia. Iman aku tidaklah seampuh iman para nabi. Masih terhuyung-hayang macam si pemabuk tuak. Kala berita kematian sering menyinggah telinga, baru aku terngadah. Baru terngiang-ngiang kalimah yang semakin hari semakin berhabuk dikotak ingatan. Baru terkinja-kinja hendak bermuhasabah. Sudah nama pun si pelupa, tak berhujah berpening lagi. Baik sahaja kalau dibungkus dan ditimbus di bawah tanah. Sudah selayaknya kita di situ.
Baru diberi sedikit nikmat sudah alpa. Diberi betis hendakkan peha. Kalau boleh nak hidup selamanya. Pencipta sendiri sudah dilupa. Dah nampak ke tempat di syurga? Ada yang berangan nak mengawal dunia. Arrghhhhhhhhhhhhhh!!! Tolonglah manusia!!! Sampai bila aku nak lekaaaaa!!!!

No comments:

Post a Comment