Wednesday, 5 May 2010

Fenomena Berkahwin Ketika Belajar


Fenomena Berkahwin Ketika Belajar

Bukanlah hendak menghalang umat daripada membina masjid. Sedangkah hadis Rasullullah s.a.w. sendiri ada menyebut:-
“Wahai anak muda, berkahwinlah. Sesiapa yang mampu, berkahwinlah kerana ia lebih memelihara mata dan menjaga faraj. Sesiapa yang tidak mampu untuk berkahwin hendaklah dia berpuasa kerana puasa adalah penahan (daripada gelojak nafsu)” (Hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari).
Ini hanyalah sekadar pendapat peribadi aku yang merupakan seorang pelajar. Menuntut di luar negara seperti di bumi kinanah ini memerlukan keazaman dan pengorbanan yang tinggi. Keluarga jauh ditinggalkan nun di tanah air. Yang mengisi kekosongan hidup hanyalah pengajian dan rakan-rakan. Ada yang mengambil kesempatan dengan mencari rakan-rakan yang berlainan jenis memandangkan keperluan di sini yang mensyaratkan kepada pelajar-pelajar perempuan supaya menggunakan perkhidmatan musyrif jika ditakdirkan perlu berurusan di luar rumah di malam hari. Kadang-kadang musyrif yang ditugaskan oleh bkan sudah bosan kerana tidak sempat untuk melakukan khidmat untuk diri sendiri. Hendak baca buku sahaja telefon akan berdering. Bukanlah tidak mahu, tapi kadang-kadang, apabila terlalu kerap, manusia itu akan bertandang rasa bosan di dalam hati. Rasa memberontak di dalam diri kerana waktu kualiti untuk diri sendiri diragut tanggungjawab yang ditaklifkan. Dari situ keterpaksaan mengambil musyrif sendiri kadang kala mengundang masalah lain pula. Ada yang menyimpan perasaan dan sebagainya. Selain itu, ada juga yang mengambil kesempatan untuk berhubung dengan insan berlainan jenis kerana ingin bertukar angin. Ibarat magnet, apabila sama kutubnya, menolaklah keduanya, apabila berlainan kutubnya, tertarik pula tanpa disuruh. Berikutan dengan perkembangan bidang teknologi maklumat dan penggunaan luas mahasiswa mesir dalam memanfaatkan kemudahan-kemudahan tersebut menjadikan medan pergaulan beralih ke alam maya pula. Jika dahulu hanya sekadar ym, dan blog. Sekarang Friendster, Facebook, Twitter dan sebagainya menambahkan lagi jaringan perhubungan. Perletakan maklumat peribadi seperti gambar dan emel memudahkan proses perkenalan.
Ada juga yang tersangkut kerana pernah ditugaskan bersama-sama. Si juita menjadi pembantu kepada si jejaka dalam menjayakan sesuatu program. Apabila program sudah tamat, mereka mengambil kesempatan untuk melangsungkan hubungan ke peringkat yang lebih tinggi pula, dengan istilah lain, couple. Nak lari ke mana? Sekadar bersms dan berchatting juga sudah boleh dinobatkan sebagai couple. Manakan tidak jika setiap saat yang dikurniakan Allah hampir 4/5 daripadanya diinfaqkan ke arah tersebut. Bukanlah hendak mencela. Tetapi sekadar peringatan. Aku pun bukanlah tidak pernah berbuat dosa sehingga senang-senang nak melabel manusia selain aku. Ada pula insan 'bijak' yang mengklasifikasikan couple islamik dan couple tak islamik, Syarie dan tak syarie pun ada. Huh.. jangan buat lawak lah (sekadar pendapat peribadi).
Dalam Islam tidak pernah disebutkan istilah couple. Yang ada hanyalah merisik, pertunangan, kahwin dan cerai. Generasi muda Islam sudah terkesan dengan trend masyarakat bukan Islam yang rata-ratanya bercouple sebelum berkahwin. Ada yang lebih ekstrim sampai tahap tidur bersama untuk mengenali hati budi pasangan sebelum berkahwin supaya nanti tidak menyesal dikemudian hari kononnya.
Tapi indahnya masyarakat Islam adalah apabila sudah tidak tertahan nafsu maka mereka akan melangsungkan perkahwinan untuk mengelakkan daripada berlakunya perzinaan dan dosa-dosa besar yang lebih teruk daripada itu.
Rata-rata pelajar di sini terdiri daripada golongan muda. Ramai yang apabila sampai di sini tidak bijak mengisi waktu dan terjerumus ke dalam kancah bercouple. Bukan apa, kalau kita betul-betul menjalankan tanggungjawab dengan belajar dan tidak membiarkan minda kita syaghal dengan benda lain, nescaya kita tidak akan punya masa untuk berfikir tentang perkahwinan. Masakan tidak logik alasan ini, sedangkan dahulu wujud daripada kalangan ulama' sendiri yang tidak sempat berkahwin kerana terlalu sibuk dengan ilmu Allah. Ada yang berkahwin sekadar niat kerana Allah dan tidak ingin melepaskan peluang untuk  melaksanakan sunnah Rasulullah.
Bukanlah aku tidak menggalakkan kahwin sewaktu belajar. Sedangkan ada sahaja sahabat-sahabat aku yang sudah mendirikan rumah tangga. Tetapi aku sangat kesalkan segelintir pasangan yang apabila kahwin sewaktu belajar maka prestasi mereka terus merudum. Daripada tidak sangkut tahun tiba-tiba sahaja tersekat-sekat berikutan ketidakmatangan dalam menyusun rumahtangga dan pengajian. Kalau sudah berkahwin ketika belajar, selalunya mendapat tentangan daripada ibu bapa kerana fenomena kahwin ketika belajar jarang-jarang berlaku di tanah air. Jadi, ada ibu bapa yang mengambil tindakan menghukum dengan menyuruh supaya menyara hidup sendiri. Kan dah kena. Tak dengaq cakap mak ayah. Maka berlangsunglah bisnes-bisnes untuk memastikan kelangsungan dalam kewangan supaya tidak papa kedana. Sudah ambil risiko, maka galaskan terus risiko tersebut supaya anda tidak panas telinga. Kala itu tanggungjawab semakin bertambah, masa perlu dibahagikan kepada lebih banyak partition, untuk belajar, untuk pasangan, untuk kerjaya, untuk anak-anak dan sebagainya. Kalau yang berjaya menempuh ujian ahsantum kepada anda. Kalau yang tidak berjaya, apa nak buat, nasik sudah jadi bubur.
Kadang-kadang sebenarnya kahwin waktu belajar ini tercetus kerana rakan-rakan yang sudah berkahwin sering memberi nasi tambah. Menceritakan akan bahagianya apabila berkahwin. Makan sudah tersedia, balik datang berjemput, nak keluar malam-malam pun dah tak payah risau. Maka terjadilah lambakan pasangan muda di sini. Yang tidak bersedia pun ekoran dorongan nafsu dan perasaan terkinja-kinja untuk berumahtangga gigih mengambil bahagian. Sedangkan sesen pun harapkan mak ayah lagi. Pelajaran pun tenggelam timbul. Kononnya nak menyahut sunnah Rasullullah. Kalau bila dah berkahwin nanti akan mewujudkan mudharat kepada pasangan boleh membawa kepada haram. Mahukah tanggung dosa yang dicari sendiri? Sedangkan dosa yang sudah ada termengah-mengah untuk diusung. Akhirnya apabila sudah terlalu lama di sini ibu bapa panggil pulang. Ada yang terus hilang matlamat. Dahulunya penuh impian untuk belajar dan sebagainya, sekarang impian tinggal habuk, yang tinggal hanyalah semakkan tanggungjawab-tanggungjawab yang belum tertunai.
Ada juga yang berkahwin untuk memudahkan proses pembelajaran. Suami yang lebih martabat dalam ilmu mampu membantu dalam menyelesaikan masalah pelajaran. Kadang-kadang masing-masing memberikan sokongan dan dorongan untuk terus mengejar ilmu Allah. Itu sangat baik pada pandangan aku dan aku sangat menyokong. Tapi biarlah punya kemampuan dari segi kewangan dan mendapat restu daripada ibu bapa selain punya kematangan dalam fikiran.
Berdasarkan minda aku yang kerdil ini, aku lebih suka jika kalian teruskan pelajaran. Jangan mudah tertewas dengan nafsu. Jangan sengaja cari pasal. Kalau yang masih solo tergedik-gedik hendak berteman sedangkan pengajian masih setahun jagung. Ilmu rapuh ibarat dedaun di musim luruh, sekali bertiup angin terbang semuanya. Kenangkan ayah dan mak di kampung. Kenangkan harapan ketika masih muda dahulu. Jangan risau, kalau sudah jodoh, takkan kemana. Kalau Allah sudah takdirkan kita akan berkahwin, tak perlu risau-risau. Tak perlu semakkan fikiran dengan andaian akan menjadi andartu atau teruna tua jika tidak cepat-cepat mencari pasangan. Belajar dahulu, sekurang-kurangnya BA dalam tangan. Baru berkahwin. Bagi yang sudah lanjut usia, apakan daya. Kalau tidak tertahan dengan nafsu kahwin sajalah. Tidak ada bantahan. Lain padang lain belalangnya, lain orang lain hukumnya.
Dan ingatlah kalian, apabila perkahwinan terjadi melalui landasan yang tidak disukai Allah (bercouple), kemudian hari nanti jangan tertanya-tanya kenapa rumah tangga berantakan. Sedangkan sejak mula lagi sudah tidak diredhai Allah. Jika berdasarkan saluran yang betul, insyaAllah aku doakan selamat sejahtera sehingga kesyurga kelak. Masing-masing punya kehebatan aqal. Aku sekadar melontarkan pandangan peribadi. Kalian proses sendiri. Wassalam.

No comments:

Post a Comment