Saturday, 1 May 2010

Umpat, Gossip dan Ghibah


Umpat, Gossip dan Ghibah

Salam. Pernah kalian menonton drama bersiri Gossip Girl atau Beverly Hills? Tidak pun drama korea Creating Destiny? Atau pun drama-drama melayu yang pernah kalian tonton di televisyen yang selalu memaparkan watak-watak yang sering mengadu domba dan membuka aib manusia-manusia sekeliling mereka.
Aku merupakan kaki tv jika tidak kena pada waktunya, aku secara jujurnya lebih gemar menonton drama-drama inggeris atau cina atau jepun atau korea berbanding dengan drama-drama keluaran negara sendiri kerana aku merasakan drama daripada Malaysia kurang berkualiti. Itu merupakan pandangan aku suatu ketika dahulu. Sekarang dan lain.
Kalau kalian pernah menonton Gossip Girl, mungkin kalian mengenal jalan ceritanya yang mengisahkan kehidupan remaja-remaja golongan elit yang hidup di Upper East Side, Manhattan. Aku sebenarnya ketika menonton cerita ini aku banyak kali juga garu kepala dan merasakan akan keruntuhan akhlak di kalangan masyarakat elit yang hidup di sana yang terlalu teruk. Secara amnya, tajuk Gossip Girl itu diambil kerana di dalam drama tersebut terdapat sebuah blog yang dikendalikan oleh seorang manusia yang tidak dikenali siapakah identitinya, dan dia menggelarkan dirinya sebagai Gossip Girl. GG bertanggungjawab menghebahkan berita-berita dan gossip-gossip terbaru dan berita-berita panas kepada semua remaja yang kalau tak silap aku menyertai news letter blog tersebut. Rata-rata yang terlibat adalah golongan-golongan remaja elit di situ. Dari situ aku nampak akan bahana bergossip dan mengumpat dan membuka aib orang. Daripada satu keping gambar yang kebetulan diambil oleh seseorang yang membenci kepada seseorang dan kemudian gambar tersebut dihantar kepada GG. Kemudian GG akan mengulas gambar tersebut dan menyebarkannya kepada semua orang. A picture speaks a THOUSAND WORD!! Macam-macam andaian yang boleh dibuat berdasarkan sekeping gambar sahaja. Kawan menjadi musuh, masing-masing memandang serong antara satu sama lain, keaiban menjadi bualan ramai, budaya pulau-memulau dan buli-membuli menjadi mainan, tekanan yang melanda orang yang digossip, masing-masing mengumpul saham dosa, kerosakan institusi rumah tangga dan macam-macam lagi. Tidak ditambah lagi dengan keruntuhan moral dikalangan mereka. Tetapi yang aku peliknya, kadang-kadang orang yang bergossip itu sepuluh kali lebih teruk daripada orang yang dijadikan bahan itu. Apabila perbuatan zina seseorang dikutuk dan dipandang serong oleh orang ramai, sedangkan orang ramai itu sendiri berzina. Cuma mereka hanya bernasib baik kerana perbuatan mereka tidak dihidu. Jika tembelang mereka pecah, berganda-ganda malu yang terpaksa ditanggung. Kadang-kadang aku merasakan mereka seperti sudah lali dengan gossip-gossip seperti itu. Sudah hilang perasaan malu.
It's just a matter of time, we just have to wait for the rumour to cool down. Some people said that the rumour will disappear after 75 days. So just bear with it till that time.
Jika hendak dibandingkan dengan drama-drama dari barat dan drama-drama dari asia, aku masih boleh memberi toleransi kepada drama-drama dari asia kerana tahap bergossip mereka masih di tahap sederhana. Tetapi masyarakat asia terlalu mengambil berat terhadap gossip dan ada yang sampai tahap sanggup untuk membunuh diri. Masyarakat barat pula berbeza dalam penerimaan gossip. Mengikut pemerhatian aku, mereka lebih tabah jika difitnah kerana mereka memang sudah terlalu biasa hidup dalam fitnah, sometimes mereka langsung tidak ambil kisah, kadang-kadang gossip tersebut memberi kesan kepada mereka dan mereka tetapi mereka cuba melawan dengan memulakan hidup baru. Tetapi sebenarnya, aku merasakan bahawa masyarakat Islam perlulah menangani gossip dengan lebih baik. Memang pedih apabila kita mendengar manusia-manusia lain membincangkan tentang kita di belakang kita, lebih pedih apabila orang yang bergossip itu merupakan talam dua muka. Kita ada Allah, kita ada al-Quran, kita ada pemikiran tasawuf yang diterapkan oleh ulama'-ulama' terdahulu. Kita mampu mengatasi semuanya dengan lebih matang jika kita mampu menggunakan langkah-langkah yang disediakan. Tetapi sadisnya adalah apabila ada yang kurang didikan agama dan hilang pertimbangan mengambil jalan yang tidak sepatutnya dengan membalas dendam, tidak kurang juga yang tidak tahan meminum racun dan sebagainya.
Tetapi pokok pangkal masalah gossip ini adalah kenapa perlunya manusia membincangkan tentang keburukan orang? Tentang kekurangan orang? Tentang ketidaksempurnaan orang? Lebih teruk lagi apabila ditokok-tambah, daripada sejengkal menjadi sehasta, daripada sehasta menjadi sedepa. Sedangkan masalah-masalah itu tidaklah sebesar mana. Dan lebih menyedihkan apabila golongan yang sering bergossip adalah golongan yang belajar agama seperti kita. Kita tahu apabila kita membuka satu aib seseorang, Allah akan membuka 10 aib kita. Kita tahu orang yang mengumpat diibaratkan seperti memakan daging saudaranya sendiri. Kita tahu semua itu. Tetapi kita tidak pernah sedar bahawa kita sebenarnya tergolong dalam golongan tersebut.
Realiti masyarakat melayu di mesir memang kaya dengan cerita-cerita panas. Walaupun tidak mempunyai saluran rancangan berita di tv, tetapi cerita-cerita panas yang baru berlaku pagi tadi sudah diketahui umum pada sebelah petangnya. Laju lagi daripada syarikat penerbitan akhbar nampaknya. Dan yang peliknya adalah, khabar-khabar tersebut nampaknya lebih panas daripada cerita sebenar. Uhmm…. Apa nak jadi ya? Apa yang berlaku jika orang yang dijadikan bahan itu tidak meredhai apa yang dikatakan padanya? Dosa mengumpat lebih besar daripada dosa berzina. Kenapa? Kerana apabila seseorang itu berzina, dia hanya perlu bertaubat kepada Allah dan berjanji tidak akan mengulangi lagi perbuatan itu, dan dia akan dikenakan hukuman yang setimpal yang telah disediakan dalam undang-undang. Tetapi jika seseorang mengumpat, dosanya tidak akan terampun selagi mana dia tidak meminta maaf dengan individu yang diumpatnya. Jika individu itu tidak mahu memaafkan langsung, maka sampai kiamat nantilah dia akan menanggung dosa. Sedangkan si yang diumpat mengambil pahalanya. Sangat merugikan.
Aku masih teringat akan pak ngah yang berada di kampung. Dia memang paling tidak suka mendengar orang yang mengumpat. Kalau isterinya datang hendak mengadu tentang keburukan seseorang kepadanya, dia lantas memarahi dan mengatakan "Aku tak mau dengaq!!".
Kalau bapak kawan aku pulak lain ceritanya, jika dia mendapat tahu isterinya bertandang ke rumah jiran, serta-merta dia akan start motor untuk membawa isterinya pulang. Apabila orang perempuam berkumpul, apa lagi yang nak dibualkan?
Kalau di kenduri-kenduri kahwin pula, sudah menjadi adat penduduk kampung untuk saling tolong menolong. Tapi kadang-kadang aku pelik juga kenapa orang kampung seperti makcik-makcik suka membincangkan masalah keluarga orang lain sambil menyiang bawang. Yang aku paling tak tahan adalah apabila orang yang digossip itu ada, mereka akan bergossip tentang orang lain pula yakni orang yang tidak ada di tempat kejadian, masing-masing akan menggoreng cerita dan menambah apa yang patut untuk menyedapkan lagi berita sensasi, bila contohnya makcik A ini pulang lebih awal, maka makcik A ini kemudian akan dijadikan bahan umpatan makcik-makcik yang tinggal. Uhmm.... pening-pening. Tapi rasanya, kejadian macam ni tak berlaku di semua kampung kot, mungkin kampung-kampung tertentu sahaja kot. Dan kalau nak kenal sama ada orang tu sedang mengumpat ataupun tidak, mereka akan bercakap perlahan-lahan sambil mata meliar seperti ayam sakit dan tangan seperti tertunjuk-tunjuk ke sana sini. Tu la tanda-tanda orang mengumpat. Bila orang lain datang serta-merta mereka akan terdiam, mungkin orang yang datang tu adalah mangsa umpatan. Takpun dia tu kroni orang yang diumpat.
Golongan lelaki pulak tidak kurang hebatnya.
Tetapi apa yang aku ingin memperingatkan kepada diri sendiri dan diri rakan-rakan pengunjung semua, elakkanlah daripada mengumpat. Tak perlu kita membincangkan masalah orang, sedangkan masalah kita sendiri tidak tertanggung. Tak perlu juga kita menghebahkan keburukan orang, sedangkan diri kita sendiri tidaklah sehebat mana. Kalau kalian-kalian ada terdengar orang bercakap-cakap atau berkata tidak buruk tentang seseorang, aku nasihatkan kepada kalian simpan sahaja di dalam hati, jangan dihebahkan kepada orang lain, ataupun kalian tinggalkan sahaja khalayak yang sedang mengumpat itu, supaya kalian tidak mendapat sekali sumbangan saham dalam bisnes umpat bergossip ini. Jika kalian tidak sedap hati juga, kalian jumpa sendiri dengan tuan empunya badan dan minta penjelasan. Nasib kalian jika dia bersedia untuk menerangkan cerita sebenar. Jika dia menipu, itu antara dia dengan Allah. Jika dia memarahi kalian kerana terlalu menjaga tepi kain orang, itu tidak mengapa, mungkin dia ingin menjaga privasi dirinya. Jangan simpan dalam hati, masing-masing ada hak privasi sendiri. Jangan jadikan umpatan sebagai barah yang merosakkan masyarakat kita.
Jika kalian tidak puas hati dengan seseorang, kalian disarankan berbincang terus dengan insan tersebut. Berterus-terang dan berbincang. Mungkin ada kesalahan di pihak kalian yang kalian tidak nampak. Mungkin ada kesalahan yang perlu diperbetulkan dalam diri sahabat kalian. Janganlah kalian membuat halaqah tidak rasmi untuk membincangkan keburukan seseorang. Cuba bayangkan jika wujud halaqah seperti itu yang membincangkan tentang keburukan kalian, kalian marah bukan?
Jadi kalian-kalian yang dihormati sekalian, katakan TAK NAK KEPADA MENGUMPAT!

 Wassalam.

No comments:

Post a Comment